KUALA TERENGGANU 30 Mac - Penemuan Batu Bersurat pada 1887 di kawasan Padang Tara di tepi Sungai Tara, Kampung Buluh, Kuala Berang membuktikan Terengganu adalah sebuah negeri terawal di Malaysia menerima Islam berbanding Melaka dan Kedah.
Malah batu itu merupakan sebuah peringatan berbahasa Melayu terawal yang dijumpai di Semenanjung Malaysia berkaitan pengisytiharan agama Islam sebagai agama rasmi dan undang-undang Islam.
Kemudian pada 1902, batu itu dijumpai pula oleh Saiyed Husin Ghulam Al-Bukhari, seorang ahli perniagaan di bahagian tangga surau Kampung Buluh yang dijadikan alas membasuh kaki untuk naik ke tangga surau tersebut.
Bagaimanapun, Saiyed Husin meminta Penghulu Ali ketika itu dan orang kampung membawa batu bersurat tersebut untuk dipersembahkan kepada Sultan Zainal Abidin 111 dan kemudiannya diletakkan di atas Bukit Puteri.
Tulisan bertarikh 702 Hijrah dalam bahasa Melayu dengan tulisan jawi itu menjelaskan Islam sebagai agama rasmi dan hukum-hukum Islam mengenai perbuatan maksiat dan kenyataan palsu serta dengan hukum mengikut taraf seseorang.
Pada masa ini Batu Bersurat tersebut dipamerkan di muzium negeri untuk membolehkan generasi hari ini melihat dengan lebih dekat mengenai sejarah batu tersebut.
Selain itu, kerajaan negeri turut mewujudkan Memorial Batu Bersurat di Kuala Berang tempat penemuan batu tersebut sebagai tempat kajian dan kunjungan penduduk di negeri ini khasnya dan pelancongan amnya.
Memorial yang direka bentuk empat persegi sama seluas 11,400 x 11,400 sentimeter (sm) dan bertingkat tiga belas (13) termasuk replika Batu Bersurat yang melambangkan Rukun Iman dan jumlah daerah di Negeri Terengganu.
Bagi mengimbau sejarah penemuan batu tersebut, muzium negeri menganjurkan Seminar Batu Bersurat selama dua hari baru-baru ini dengan menghimpunkan seramai 150 peserta yang mewakili jabatan kerajaan, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan dan pelajar.
Ketika berucap pada perasmian itu, Pengarah Muzium negeri, Mohd. Yusof Abdullah mahu sebuah Pusat Penyelidikan Jawi diwujudkan di Memorial Batu Bersurat, Kuala Berang sebagai pusat penyelidikan jawi yang terunggul di negara ini.
Katanya, pemilihan di Kuala Berang itu wajar kerana daerah itu merupakan tapak penting kerana ia menjadi tempat penemuan Batu Bersurat yang membuktikan tentang pengisytiharan Islam.
''Pada masa ini kerajaan negeri telah mewujudkan Memorial Batu Bersurat di situ sebagai tempat kajian dan kunjungan pelawat dari dalam dan luar untuk melihat Replika Batu Bersurat yang ditemui pada 1887,'' katanya.
Menurut beliau, pada masa ini kertas cadangan mengenai pembinaan Pusat Penyelidikan jawi itu telah siap dan akan dikemukakan kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan kelulusan dan peruntukan.
''Dengan adanya Pusat Penyelidikan Jawi itu, ia akan menjadi tumpuan kepada para penyelidik atau pengunjung untuk mengkaji atau membuat rujukan mengenai sejarah tulisan jawi dan kedatangan Islam di negeri ini,'' katanya.
Sebanyak enam kertas kerja dibentangkan dalam seminar yang julung kali diadakan anjuran muzium negeri.
Ia bertujuan untuk mengkaji dan menyelidik usul batu yang digunakan dan mengenal pasti pengaruh tulisan yang digunakan pada ketika itu.
Antara pembentang ialah Drs. Supian Sabtu dari Jabatan Pengajian Sejarah Universiti Malaya dengan tajuk Kepentingan Batu Bersurat Dalam Konteks Arkeologi, Izziah Suraiani Arshad dari Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (Batu Bersurat Terengganu: Bacaan, Tafsiran dan Ulasan Isi Kandungan).
***************************************************************************************
pernah belajar tentang penemuan batu bersurat di terengganu ni
masa belajar sejarah dulu.. tapi tak ada ambil berat sangat -
tapi bila baca balik... kaji balik... memang satu penemuan yang bersejarah
tentang sejarah awal Islam datang ke tanah melayu - dan jelas ianya
lebih awal dari melaka... dulu ingat melaka dulu sebab pedagang2
arab datang ke pelabuhan melaka... - rupanya ada yang lebih awal dari tu -
No comments:
Post a Comment